Wednesday, July 10, 2019

Ibu passed away #3



Seminggu sudah kami lalui tanpa ibu. Hari ini aku rasa nak share sakit apa yang ibu alami. Mesti ramai tertanya-tanya kan ibu pergi sebab apa? Aku nak coretkan juga dekat sini supaya aku tak lupa di kemudian hari.

Ibu dah mula sakit sejak 3 tahun yang lalu. Tahun 2016 sekiranya aku tak silap. Tapi doktor tak dapat kenalpasti punca dia sakit. Simtom semakin nampak sejak arwah Wan (emak kepada ibu) meninggal dunia. Berat badan ibu turun mendadak, badan ibu susut jadi kurus kering. Jadi, kami beranggapan ibu kemungkinan mengalami kemurungan sahaja kerana pemergian arwah Wan. Ibu mula bertukar tempat kerja untuk mengurangkan sakit. Tapi lama-kelamaan ibu buat keputusan untuk berhenti kerja (pencen) terus pada tahun 2018 kerana tidak larat lagi untuk meneruskan perkhidmatan dalam keadaan dirinya yang tidak sihat.

Ayah cuba bawa ibu pergi bercuti di merata negara supaya ibu lupakan kesedihan dia pada arwah Wan, supaya ibu happy semula untuk teruskan kehidupan. Tapi bila tahun berganti simtom sakit ibu semakin bertambah. Ibu sudah mula susah untuk makan kerana lidahnya yang menebal dan membesar membuatkan ibu susah untuk mengunyah dan menelan. Rawatan dan appoinment hospital masih diteruskan saban tahun tetapi doktor tetap tidak kenalpasti sakit apa yang ibu alami. Scan badan juga menunjukkan organ dalaman ibu sihat. Kami mula berfikir yang ibu terkena buatan orang. Jadi, ayah mula bawa ibu berubat rawatan islam pula.

Tahun 2019 kesihatan ibu semakin merosot. Ibu mengalami kesesakan untuk bernafas. Jalan dari bilik ke dapur saja ibu dah mula mengah. April 2019 ibu dimasukkan ke hospital kerana sesak nafas. Hampir 3 minggu juga ibu di hospital. Doktor dah ambil pelbagai sampel termasuklah sampel darah, sampel kahak, sampel air dalam badan, sampel air tulang belakang. Namun, doktor masih tak jumpa sakit apa yang ibu alami. Doktor cuma mengesahkan yang jantung ibu dah lemah. Hanya 40% sahaja yang berfungsi. Tetapi doktor taktahu apa punca jantung tersebut semakin lemah. Dan paru-paru ibu pula dah diselaputi air. Ibu minta pulang ke rumah sementara doktor buat kajian dari sampel-sampel tersebut kerana ibu sudah penat berada di hospital dan ibu ingin manyambut Ramadhan di rumah.

Minggu pertama Ramadhan doktor kenalpasti yang ibu menghidap Amyloidosis. Satu penyakit rare yang sangat sangat rare untuk terkena pada sesiapa. Satu dalam sejuta manusia yang akan terkena penyakit ini. Kami pun tidak pasti bagaimana ibu boleh terkena penyakit ini. Penyakit ini adalah salah satu jenis dari kanser darah. And worst, no cure for this disease.

"Amyloidosis (am-uh-loi-DO-sis) is a rare disease that occurs when a substance called amyloid builds up in your organs. Amyloid is an abnormal protein that is produced in your bone marrow and can be deposited in any tissue or organ." (Amyloidosis, MayoClinic, 2017)
Korang boleh klik link atas ni untuk baca lebih lanjut tentang penyakit ini. Semua simtom disebut memang ibu lalui. Kesan dari abnormal protein itu akan membuatkan persekitaran organ yang terkena akan menebal. Abnormal protein yang ada dalam badan ibu dah mula menyerang organ bermula dengan lidah dan seterusnya jantung. Disebabkan itulah ibu susah untuk makan kerana lidah ibu makin lama makin tebal dan susah untuk mengunyah dan menelan. Jantung ibu juga mula mengepam lemah dan tidak mengepam dengan normal kerana keliling jantung dah mula menebal dan susah untuk berfungsi.

Ibu mula satu sesi kimoterapi pada minggu kedua Syawal hari Jumaat. Lima hari berikutnya iaitu hari Selasa, ibu dimasukkan semula ke hospital kerana ibu terkena strok masa nak menunaikan solat Maghrib. Abnormal protein itu sudah mula menyerang otak yang menyebabkan ibu strok. Ibu cuma strok pada malam tersebut sahaja. Tetapi hampir dua minggu juga ibu di hospital kerana kesihatan ibu makin merosot. Ibu memerlukan oksigen untuk bernafas. 30 June 2019, ibu telah dipindahkan ke CCU iaitu wad separa kritikal. Pada petang 1 Julai 2019, paru-paru ibu terpaksa ditebuk untuk mengeluarkan air sebanyak 1.5L. 2 Julai 2019, jam 420pagi ibu telah menghembuskan nafas terakhir dan pergi menghadap Ilahi. Ibu meninggal dunia sebab kegagalan jantung untuk berfungsi akibat dari Amyloidosis yang mnyebabkan jantung tersebut semakin tebal dan tidak boleh mengepam.


No comments:

Post a Comment