Sunday, July 7, 2019

Ibu passed away #2

Hari ini merupakan hari keempat ibu pergi meninggalkan kami. Alhamdulillah aku dan keluarga semakin boleh terima hakikat yang ibu sudah tiada. Aku terasa nak tinggalkan kenangan ibu dalam blog ini sebab aku takut satu hari nanti aku lupa bagaimana ibu pergi. Jadi, biarlah kenangan aku dengan ibu abadi dalam blog ini.

Isnin, 1 Julai 2019
Sehari sebelum ibu pergi, aku rasa berat hati sangat. Hati aku rasa tak sedap asyik teringat ibu di hospital. Aku banyak diam di pejabat dan jantung aku asyik berdebar-debar. Hari Isnin inilah aku decide untuk tidak ke hospital (memandangkan aku berdua dengan anak dan budak kecil tidak dibenarkan masuk ke wad, jadi jadual aku melawat ibu di hospital adalah selang sehari. Tetapi bermula hari Jumaat sebelum itu, aku rasa tak sedap hati jika tak ke hospital. Jadi aku ulang alik hospital selama 3 hari berderet.) Kasihankan anak aku, aku buat keputusan untuk tidak ke hospital pada hari Isnin ini walaupun aku rasa berat.

Seusai solat Maghrib, hati aku tiba-tiba sahaja berdetik dalam doa "Ya Allah, cukuplah ibu aku terseksa dengan sakit yang dialami. Sekiranya Kau memang ingin ambil dia dari kami, Kau ambillah dia dengan baik, dan aku redha, ya Allah. Aku redha." Air mata aku jatuh mengalir dengan deras. Berat sangat rasa hati nak doa macam tu. Setelah sekian lama aku mengelak dari doa begitu sebab aku tak rela. Tapi hari itu aku zahirkan juga dalam doa. Mungkin Allah nak aku betul betul redha. Dan pada waktu ini juga aku terdetik nak sedekah surah yassin dekat ibu.

Selasa, 2 Julai 2019
Aku tersentak dari tidur jam 3pagi lebih. Dan terus terlintas dalam kepala aku "Hospital nak call dah ni." Dan aku rasa macam taknak pergi kerja hari ini, sebab hati aku berat nak ke hospital. Aku belek-belek phone taktahu apa yang aku tunggu. Lalu aku tertidur semula. Jam 4pagi abang aku ketuk pintu bilik aku, dan merenung aku sambil berkata, "Siap-siaplah, kita pergi hospital. Ibu dah takde." Aku terdiam. Terkebil-kebil. Dalam hati aku berkata, "Mimpi ke ni?" "Betul ke apa yang aku rasa tadi? Apa yang aku rasa dari semalam?" Aku masih diam depan abang aku.

Aku masuk semula dalam bilik, duduk atas katil dan cuba hadam balik apa yang abang aku sampaikan. Badan aku mula menggigil, tangan aku mula dingin, mata aku mula berkaca. Lalu aku menangis semahu-mahunya. Aku bangun basuh muka, capai jubah. Aku fikir mungkin aku salah dengar kot. Aku keluar bilik dan jumpa abang aku bertanya kan semula.

"Ibu memang betul-betul dah pergi ke? Ke ibu tengah tenat baru nak pergi?"

Abang aku jawab,"Ibu dah pergi. Ibu memang dah takde."

Aku menangis. Teruk. Aku menangis menangis dan menangis. Sambil aku menceritakan apa yang aku rasa dari semalam. Dan abang aku menenangkan aku sambil berkata, "Mungkin sebab kita semua dah betul betul redha, sebab tu Allah ambil Ibu." Semakin kuat aku menangis.

Kami semua bersiap terus ke hospital bahagian pengambilan jenazah. Rupanya kakak dan ayah sudah berada di hospital seawal 3pagi lebih. Ayah kata hospital call jam 3pagi lebih tadi. Bermakna aku terjaga dari tidur jam 3pagi terlintas dalam kepala hospital nak call tu memang hospital call betul-betul. Allah banyak sangat petanda.

Aku menangis tengok sekujur tubuh ibu kaku. "Ya Allah, ibuuuuuu!" Aku peluk ibu. Aku menangis dan bacakan yassin untuk ibu. Selepas solat subuh, aku dan kakak bersama dua orang ustazah sama-sama mandikan jenazah ibu. Air mata aku kering. Kepala aku dah mula berat dan pening. Mungkin sebab aku menangis teruk.

Sahabat ibu ketika menunaikan haji tiba di ruangan menunggu van jenazah. Aku ikut dia pulang ke rumah untuk mengemas rumah sebelum jenazah ibu dibawa ke rumah.

Ramai sangat yang hadir menziarahi arwah ibu sebelum dikebumikan. Ramai juga yang sama-sama menunaikan solat jenazah untuk ibu. Sehingga ibu dikebumikan dan ditalkinkan, masih ramai yang setia menunggu. Alhamdulillah, satu yang aku bersyukur, semuanya berjalan dengan mudah dan lancar. Ramai sangat yang membantu dari awal hingga akhir. Rezeki ibu memang dimurahkan Allah walau dia dah tiada.

Kawan-kawan ibu ramai yang whatsapp dan memberitahu ibu orang yang sangat baik dan pemurah. Sebab tu ramai orang ingat kat dia. InsyaAllah ibu dah bahagia dan tenang kat sana. Semoga Allah ampunkan segala dosa-dosa ibu dan terima segala amal ibadat ibu.

Terima kasih semua kawan-kawan yang hadir ziarah arwah ibu. Doakan aku terus kuat menghadapi kehilangan orang-orang yang aku sayang buat kali kedua. Semoga ada ganjaran untuk setiap air mata kesabaran aku.



No comments:

Post a Comment